• Laman Utama PSS
  • Kelab Remaja PSS
  • Hubungi Kami
  • Monday, June 15, 2009

    Laporan KRIS KK 09 SMK Tobobon, Kota Kinabalu


    Alhamdulillah, syukur dipanjatkan ke hadrat ALLAH SWT kerana dengan izin dan rahmat kasih sayangNya, KRIS KK 09 kali pertama dapat dilaksanakan dengan jayanya dengan usaha gigih dan komitmen penuh yang diberikan oleh ajk-ajk pelaksana dan semua yang terlibat dalam menjayakannya. Syukran jazilan diucapkan. Hanya ALLAH SWT sahaja yang mampu membalas segala jasa dan pengorbanan kalian. Semoga ianya diterima baik di sisi ALLAH, insya ALLAH.

    Seramai 130 peserta Muslimin dan Muslimat tingkatan 3-6 dari 18 buah sekolah sekitar Kota Kinabalu dan beberapa sekolah dari daerah berhampiran telah mengikuti KRIS KK kali ini, Alhamdulillah. Antara sekolah yang terlibat ialah SMK Tobobon, SMK Sanzac, SMK (P) Likas, SMK Likas, SM Teknik Likas, SMK Bandaraya, SM Sains Sabah, SMK(A)KK, SMK(A)Inanam, SMK(A)Toh Puan, SMK(A)Mohd Ali, SMK Bandaraya, SMK Kolombong, SMK Lok Yuk, SMK Konven St Francis, SMK St Peter Telipok, SMK Tamparuli dan SMK Badin. Tahniah diatas penyertaan anda.

    Sepanjang program berlangsung, para peserta didedahkan dengan pengisian rohani dan jasmani dari pelbagai bentuk dan pendekatan yang dirancang baik oleh pihak ajk pelaksana walaupun tidak dapat dinafikan masih terdapat beberapa masalah dan kekurangan yang tidak dapat dielakkan. Namun begitu, diharap para peserta mendapat seberapa banyak input-input berguna dan penting untuk menjadikan kita berubah ke arah yang lebih baik dari sebelumnya. Kami hanya mampu melakukan sedaya yang kami termampu namun semuanya terletak kepada diri peserta dan atas ketentuan ALLAH SWT jua.

    Peserta tiba pada petang Isnin dan program bermula dengan taklimat program dan disiplin yang disampaikan oleh ajk pengisian dan Kem Komanden Program. Para peserta dihidang dengan santapan rohani berupa Kuliah Maghrib, Kuliah Subuh, Kuliah Dasar, Qiamullail, Malam Mencari Redha Ilahi dan Malam Penghayatan sepanjang program tersebut dengan harapan para peserta mampu memupuk kesedaran dan keinsafan dalam diri disamping memperbaiki diri untuk menjadi muslim yang sejati. Selain itu, slot pengukuhan kefahaman dan penghayatan peserta telah dilaksanakan melalui Latihan Dalam Kumpulan (LDK) dengan bimbingan dan didikan fasi-fasi yang mempunyai bakat dan kemahiran berbeza ini sememangnya mengharapkan perubahan positif dikalangan peserta. Aktiviti melibatkan pergerakan fizikal dan mental juga diadakan seperti Xplorace dan riadah pula memberi peluang peserta merenggangkan otot-otot badan dan menghirup udara segar di luar, malah memberi peluang untuk mengeratkan ukhuwah sesama mereka disamping mengurangkan tekanan dan keletihan yang dialami. Slot gotong-royong dan lambaian ukhuwah mengakhiri Program KRIS KK 09 pada Rabu petang.

    KRIS KK 09 SMK Tobobon dengan seribu satu kenangan dan harapan yang menggunung mendamba untuk direalisasikan melalui tindakan para peserta dan ajk selepas tamat program nanti. Doa kami dari pihak penganjur semoga para peserta tidak mensia-siakan peluang yang telah diberikan oleh ALLAH kepada kita sebagai hamba-hambaNya yang terpilih, alhamdulillah. Namun begitu, kepada mereka yang berminat namun tidak berpeluang mengikuti KRIS kali ini diharap dapat menerima dengan hati yang terbuka dan tidak berputus asa untuk mengikuti program-program bermanfaat dan membentuk jiwa seperti ini pada masa akan datang. Mudah-mudahan program ini dapat diteruskan di masa depan dengan lebih efektif dan mampu melahirkan masyarakat yang cintakan ISLAM dan beramal dengannya, insya ALLAH. Juga semoga usaha murni ini mendapat redha dan kasih sayang ALLAH kerana penganjuran progam ini tidak lain hanyalah kerana ALLAH semata-mata, insya ALLAH...TAKBIR!